Sejarah

  1. Home
  2. Sejarah

Sejarah Awal Dewan Negeri Perak

Sejarah Perlembagaan Malaysia boleh dikatakan bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang dilaksanakan melalui Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada tahun 1877. Sistem pemerintahan tradisional antara Sultan dan para pembesar Melayu berubah selepas campur tangan British secara tidak langsung di Negeri-negeri Melayu termasuklah Perak apabila Residen British dilantik untuk menasihati Sultan.

Untuk memulihkan peranan pemerintah dalam pemerintahan, majlis negeri ditubuhkan dengan penyertaan pembesar-pembesar Melayu dan ketua-ketua masyarakat Cina.

Pembentukan Dewan Negeri Perak

Pembentukan Dewan Negeri Perak bermula apabila Majlis Mesyuarat Negeri Perak (Majlis Negeri Perak) dibentuk pada tahun 1877 dan menjadi titik tolak kepada pembentukan badan perundangan negara.  Mesyuarat pertama Majlis ini diadakan di kediaman Residen British, Kuala Kangsar pada 10 September 1877.  Sidang pertama Majlis Negeri ini digambar seperti berikut :-

On the 10th of September, 1877 the first Council meeting was ceremoniously held at Kuala Kangsar. The matters under discussion — revenue proposals, land policy, appointments of penghulus — had already been under consideration both by Jervois and Low and policy agreed, but by the Council device, Malay and Chinese opinion was heard, and members identified with final decisions.

- Emily Sadka,1954

Bangunan Dewan Persidangan Dewan Negeri Perak, Kuala Kangsar (tepi pokok)

Penubuhan majlis ini adalah satu proses demokrasi yang dimulakan selepas peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak. Sir Hugh Low selaku Residen British di Perak menyedari akan kepentingan orang Melayu dirundingi dalam perkara membuat dasar terhadap negeri Melayu. Majlis ini terdiri daripada :-

  • Raja Muda Yusuf (Yang Dipertua);
  • Residen Hugh Low;
  • Raja Idris ;
  • Kapten Speedy;
  • Orang Kaya Temenggung;
  • Kapitan Chung Ah Kwee; dan
  • Kapitan Ching Ah Yam.

Kemudian, keahliannya ditambah dengan :

  • Cik Karim Selama;
  • Dato Panglima Besar; dan
  • Sheikh Muhammad Taib

Mesyuarat ini dikendalikan dalam Bahasa Melayu dan dicatat dalam tulisan Jawi.  Minit mesyuarat juga diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.  Semua usul dan cadangan dibahas dan diundi sebelum dijadikan undang-undang. Fungsi Majlis itu ialah :-

Maka dengan menunjukkan akal dengan pengetahuan member council itu daripada fasal keadaan negeri itu menolong memerintahkan kerajaan itu atau ada di dalam kerajaan itu hendaklah sekalian member itu mengikut dan berbuat jalan yang baik serta meringankan cukai di atas rakyatnya dan memberi aman sentosa. Sebagai lagi hendaklah berbanyak-banyak ikhtiar pada hal menambahkan dagang sendiri dan rakyat-rakyat di dalam negeri ini supaya bertambah-tambahlah hasil mereka itu memasukkan harta benda mereka itu ke dalam negeri itu. Dan diperbela harta benda mereka itu seadanya.

- Fawzi Basri, 1986

Majlis Negeri Perak mencapai tahap yang cemerlang semasa pemerintahan Sultan Idris Shah (1887-1916) apabila baginda memainkan peranan penting selaku pengerusi majlis dengan memberikan sejumlah kuasa kepada Sultan.

Pembentukan Persekutuan 1896

Pembentukan Persekutuan 1896 (Federated Malay States) menerusi gabungan negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menyebabkan Majlis Negeri-negeri Melayu termasuk Perak kehilangan kuasa apabila Raja-raja Melayu terpaksa menjadi ahli kepada Majlis Persekutuan dan berlaku pemusatan kuasa kepada Residen Jeneral. Sultan Idris menjadi lantang mengkritik hal ini dalam mesyuarat Durbar.

          Apabila Majlis Mesyuarat Persekutuan dibentuk pada 11 Disember 1909, Majlis Negeri Perak kehilangan kepentingan dan kuasa kerana pemusatan kuasa oleh British di peringkat Persekutuan 1896. Pada tahun 1924, Sultan Iskandar (1918-1938) mengemukakan pemulihan semula kuasa Majlis Negeri Perak ke Pejabat Tanah Jajahan British di London. Kemudian, baginda bersama Raja Pemerintah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain menarik diri daripada menganggotai Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1927. Kesannya, British memulangkan semula sebahagian kuasa ke peringkat negeri pada tahun 1930.

          Pada tahun 1932, Majlis Negeri-negeri termasuk Majlis Negeri Perak diberikan nafas baru sebagai badan perundangan dengan wakil-wakil pelbagai kepentingan dan kumpulan etnik. Residen terus kekal menasihati Sultan manakala majlis negeri membincangkan dan meluluskan undang-undang. Sultan akan memberikan perkenan kepada undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Negeri.

          Sepanjang tahun 1877 hingga 1941, persidangan Majlis Negeri Perak berlangsung di beberapa lokasi iaitu Dewan Persidangan di Kuala Kangsar yang terletak di kaki Bukit Kerajaan Bukit Chandan dan Dewan Persidangan di Bangunan Sekretariat Negeri Perak (iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang hari ini).

          Kebiasaannya persidangan akan bermula pada pukul 10.00 pagi dengan pembukaan dewan oleh Sultan Perak dengan penuh istiadat (The Straits Times, 15 Oktober 1934). Apabila tentera Jepun menawan negeri Perak pada tahun 1942, pusat pentadbiran negeri Perak dipindahkan dari Taiping ke Ipoh. Dewan Persidangan Majlis Negeri Perak juga bertukar ke tingkat atas Bangunan Sekolah St. Michael Institution, Ipoh.

          Selepas tamat Perang Dunia Kedua, bangunan Dewan Persidangan Majlis Negeri Perak ditempatkan di Bangunan Sekteriat Negeri Perak yang terletak di Jalan Kelab (Bangunan Sekolah Anderson Lama).

Perjanjian Negeri Perak 1948

Perjanjian Negeri Perak 1948 yang bertarikh pada 21 Januari 1948 membawa perubahan pemerintahan Sultan kepada Raja Berperlembagaan di Perak. Perjanjian ini turut memberikan implikasi kepada perkembangan Dewan Negeri Perak. Dalam Fasal 10 Perjanjian ini dipersetujui untuk dilembagakan dua buah badan penting iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan (State Executive Council) dan Majlis Mesyuarat Negeri (Council of State) :-

10. In pursuance of the undertaking contained in Clause 9 of this Agreement and in conformity with the provisions of the Federation Agreement His Highness undertakes forthwith to constitute a) A Majlis Meshuarat Kerajaan, to be called in English State Excutive Council; b) A Majlis Meshuarat Negri, to be called in English Council of State. (Perak Treaty of 21 January 1948).

Perkembangan ini diperkukuhkan dengan penggubalan Undang-undang Tubuh Negeri Perak 1948. Kedua-dua majlis ini masih dianggotai oleh Sultan Perak, pembesar negeri, setiausaha negeri, penasihat undang-undang negeri dan pemimpin setempat. Ahli-ahli ini dipilih menerusi perlantikan.

Klausa yang pecahkan ‘State Council’ kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (State Executive Council) dan Majlis Mesyuarat Negeri (Council of State)

Antara ahlinya ialah Raja Muda Yusuf dan Dato Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab. Hanya jawatan Residen British sahaja dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Menteri Besar.

Ahli Majlis Negeri Perak di Bangunan St. Michael Institution Ipoh semasa Zaman Pendudukan Jepun.

Menteri Besar Perak yang pertama dilantik ialah Y.A.B Haji Abdul Wahab Bin Toh Muda Abdul Aziz, Orang Kaya-kaya Panglima Bukit Gantang, Seri Amar Di Raja pada tahun 1948 hingga 1957.

Gambar Dewan Negeri semasa Pelantikan Menteri Besar Perak Yang Pertama di Bangunan Lama Sebelah Pejabat Tanah dan Galian, Perak

Pilihan Raya

Pelaksanaan proses Pilihan Raya yang pertama pada 18 Februari 1954 (sebelum merdeka) di Tanah Melayu turut mempengaruhi perkembangan Dewan Negeri Perak. Keanggotaan Dewan Negeri Perak terbahagi kepada dua iaitu 24 orang calon lantikan sultan dan 20 calon pilihan raya (The Straits Times, 25 January 1957).

        Pada Julai 1957, Y.A.B Haji Abdul Wahab Bin Toh Muda Abdul Aziz, Orang Kaya-kaya Panglima Bukit Gantang, Seri Amar Di Raja meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan digantikan oleh Y.A.B Tan Sri Haji Mohd. Ghazali Bin Haji Jawi Menteri Besar Perak yang pertama pilihan rakyat pada 7 Ogos 1957.

Menteri Besar Yang Pertama.

Speaker pertama Dewan Undangan Negeri Perak yang dilantik ialah Raja Musa Mahadi pada 19 Disember 1957 hingga Januari 1964 (Berita Harian, 19 Disember 1957 & The Straits Times, 12 January 1964).

‘Speaker’ Perak yang pertama di Perak

Selepas pilihanraya negeri tahun 1959, barulah semua Ahli Dewan Negeri dipilih daripada wakil-wakil pilihanraya, dimana tiada lantikan daripada Sultan. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pula dipilih daripada kalangan Ahli Dewan Negeri sehingga sekarang.

          Menteri Besar Perak kini, Y.A.B Dato’ Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad adalah Menteri Besar yang kelima belas. Beliau dibantu oleh sepuluh orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Dan Yang di-Pertua Dewan kini, YB Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid.

Rujukan

  • Chean Boon Kheng, The Encyclopedia of Malaysia: Early modern history, 1800-1940. Kuala Lumpur, Archipelago Press, 1998.
  • Encik Nor Hisham Zulkiflee, Setiausaha Persatuan Warisan Perak.
  • Emily Sadka, The Journal Of Sir Hugh Low, JMBRAS, 1954.
  • Fawzi Basri, Cempaka Sari : Sejarah Kesultanan Perak. Ipoh, Yayasan Perak, 1986.
  • Sultan Nazrin Shah, Globalization : Perak’s Rise, Relative Decline and Regeneration. London, Oxford University Press, 2024, hlm.108-110